Pertandingan bola tampar dilaksanakan mengikut Undang-undang Persatuan Bola Tampar Amatur Malaysia (MAVA) dan peraturan-peraturan am Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Antara undang-undang asas permainan bola tampar adalah seperti berikut:
- Pertandingan bola tampar diadili oleh dua orang pengadil, iaitu pengadil pertama dan pengadil kedua.
- Setiap pasukan perlu terdiri daripada sekurang-kurangnya enam orang pemain dan tidak melebihi 12 orang pemain yang berdaftar.
- Servis hanya boleh dilaksanakan selepas pengadil pertama meniup wisel.
- Servis perlu dilakukan oleh setiap pemain mengikut giliran yang sah.
- Pemain yang melakukan servis tidak dibenarkan memijak garisan belakang.
- Setiap pemain boleh menyentuh bola sekali sahaja. Pemain boleh menyentuh bola dengan mana-mana bahagian badan.
- Setiap pasukan hanya boleh menyentuh atau memainkan bola dengan tiga sentuhan sebelum menghantar ke gelanggang pihak lawan. Pengiraan ini tidak termasuk sentuhan bagi mengadang.
- Mengadang hanya boleh dilakukan oleh pemain barisan hadapan.
- Pemain barisan belakang boleh melakukan rejaman tetapi dari luar kawasan serangan.
- Pemain dilarang menyentuh mana-mana bahagian jaring atau memasuki kawasan pihak lawan.
- Setiap pasukan boleh melakukan enam pertukaran dalam setiap set permainan bila-bila masa dengan kebenaran pengadil. Pemain yang ditukar perlu diganti dengan pemain yang sama apabila pertukaran dibuat semula.
- Setiap pasukan boleh meminta dua kali “time-out” dalam satu set permainan dengan kebenaran pengadil.
- Mata kemenangan ialah 25 mata yang dikira secara pengiraan pingpong. Apabila kedudukan mata 24-24, lebihan dua mata diperlukan untuk menentukan kemenangan.
- Set penentuan, hanya 15 mata sahaja digunakan dengan lebihan dua mata diperlukan untuk menentukan kemenangan.
- Antena berfungsi untuk memastikan bola masih berada dalam kawasan permainan semasa bola masuk ke kawasan pihak lawan.
- Setiap pasukan hendaklah memakai jersey yang mempunyai nombor.
- Permainan akan dijalankan mengikut peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh ‘International Volley Ball Association’.